Friday 7 December 2012

KESALAHAN UMUM TATABAHASA (FASA 1)

         Tanpa kita sedari sebenarnya terdapat banyak kesalahan umum tatabahasa yang kita telah lakukan. Justeru itu, cikgu mengajak anak-anak didik cikgu merenung sejenak kesalahan-kesalahan umum tatabahasa tersebut. Harapan agar anak-anak didik cikgu dapat manfaat daripada info ini.


Kata Adjektif hanya menerima imbuhan awalan mempeR- dan tidak menerima imbuhan apitan mempeR-....-kan. 
Ayat contoh :

1. Ayah memperbesar reban ayam serama di belakang rumah.              (betul)
    Ayah memperbesarkan reban ayam serama di belakang rumah.       (salah)
2. Para pekerja memperdalam longkang di kawasan perumahan itu.      (betul)
    para pekerja memperdalamkan longkang di kawasan perumahan itu  (salah)

Kata penguat terbahagi kepada tiga jenis iaitu penguat hadapan (palng,agak,terlalu), kata penguat belakang (betul,benar,sekali,nian) dan penguat bebas (sungguh,amat,sangat)
Ayat contoh :

1. Indah nian pemandangan di tepi pantai ketika matahari hampir terbenam.              (betul)
    Nian indah pemandangan di tepi pantai ketika matahari hampir terbenam.             (salah)
2. "Udara di Tanah Rata, Tanah Tinggi Cameron nyaman sungguh," kata Encik Ali.  (betul)
    "Udara di Tanah Rata, Tanah Tinggi Cameron sungguh nyaman," kata Encik Ali.   (betul)

Penggunaan kata majmuk iaitu kata pertama sahaja yang perlu digandakan. Bagi simpulan bahasa pula, penggandaan dilakukan pada keseluruhan kata tersebut kerana simpulan bahasa mempunyai maksud yang tersendiri.
Ayat contoh :

1. Duta-duta besar itu sedang menghadiri mesyuarat di Putrajaya.                                (betul)
    Duta besar-duta besar itu sedang menghadiri mesyuarat di Putrajaya.                       (salah)
2. Kutu embun-kutu embun yang terlibat dengan lumba haram itu ditangkap oleh polis. (betul)
    Kutu-kutu embun yang terlibat dengan lumba haram itu ditangkap oleh polis.            (salah)

Penggunaan kata bila dan apabila dalam ayat kadang-kadang menimbulkan kekeliruan. Perkataan 
"bila" digunakan dalam ayat tanya sementara "apabila" pula digunakan dalam ayat penyata.
Ayat contoh:

1. Apabila hari hujan, semua murid dikehendaki berteduh di kantin sekolah.     (betul)
    Kamu sekeluarga akan bercuti di rumah datuk kamu di Pulau Pangkor bila? (betul)
    Bila hari hujan, semua murid dikehendaki berteduh di kantin sekolah.           (salah)

Penggunaan kata dengan dan bersama-sama tidak boleh disekalikan dalam ayat kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang sama. Pilih salah satu, sama ada kata "dengan" atau perkataan "bersama-sama."
Ayat contoh:

1. Hasnah bersama-sama ibunya membeli keperluan dapur di pasar malam.              (betul)
    Hasnah bersama-sama dengan ibunya membeli keperluan dapur di pasar malam.  (salah)

Kata pemeri terdiri daripada ialah dan adalah. Ialah hadir di hadapan frasa nama manakala adalah hadir di hadapan frasa adjektif  dan frasa sendi nama. Adalah tidak boleh digunakan pada mana-mana awal ayat.
Ayat contoh:

1. Basikal baharu itu ialah hadiah hari lahir adik saya yang ketujuh.                    (betul)
    Basikal baharu itu adalah hadiah hari lahir adik saya yang ketujuh.                 (salah)
2. Punca pencemaran adalah seperti pembuangan sisa toksik ke dalam sungai.  (betul)
    Punca pencemaran ialah seperti pembuangan sisa toksik ke dalam sungai.     (salah)
3. Adalah dimaklumkan bahawa Pejabat Pos Kuantan akan ditutup esok.         (salah)
    Dengan ini dimaklumkan bahawa Pejabat Pos Kuantan akan ditutup esok.    (betul)

Apabila menggunakan kata ganda kita perlu berhati-hati dan elakkan penggunaan kata yang mempunyai maksud yang sama atau bertindih dengan kata ganda.
Ayat contoh:

1. Kebanyakan murid-murid di SK Sungai Keladi berketurunan India.                (salah)
    Kebanyakan murid di SK Sungai Keladi berketurunan India.                          (betul)
2. Daun-daun kering bertaburan memenuhi halaman rumah Mak Cik Ita.             (salah)
    Daun kering bertaburan memenuhi halaman rumah Mak Cik Ita.                      (betul)
3. Penduduk kampung saling menolong menguruskan kenduri kahwin itu.             (betul)
    Penduduk kampung saling tolong-menolong menguruskan kenduri kahwin itu.  (salah)
    Penduduk kampung tolong-menolong menguruskan kenduri kahwin itu.           (betul)

Perkataan "atas" dan "di atas" dalam ayat membawa maksud yang berbeza. Perkataan "atas" merujuk perkara yang abstrak atau bukan tempat manakala "di atas" pula merujuk tempat atau arah tertentu.
Ayat contoh:

1. Komputer riba yang baharu itu terletak di atas meja Cikgu Zaini.                (betul)
    Komputer riba yang baharu itu terletak atas meja Cikgu Zaini.                    (salah)
2. Guru besar merakamkan penghargaan atas kerjasama PIBG selama ini.      (betul)
    Guru besar merakamkan penghargaan di atas kerjasama PIBG selama ini.  (salah)

Penggandaan penuh merupakan proses penggandaan keseluruhan kata dasar tanpa perubahan sebarang bentuk dan ada yang membawa maksud tunggal serta membawa maksud banyak. Oleh itu, kita mesti berhati-hati semasa membina ayat yang menggunakan kata ganda membawa maksud tunggal atau kata ganda membawa maksud banyak.
Ayat contoh:

1. Banyak murid yang tidak hadir aktiviti kokurikulum kerana hari hujan.               (betul)
    Banyak murid-murid tidak hadir aktiviti kokurikulum kerana hari hujan.             (salah)
2. Di taman itu terdapat banyak rama-rama yang sedang menghisap madu bunga.  (betul)
    Di taman itu terdapat rama-rama yang sedang menghisap madu bunga.              (betul)
3. Rumah-rumah yang baru dibina di Taman Sentosa itu cantik bentuknya.             (betul)
    Rumah yang baru dibina di Taman Sentosa itu cantik-cantik bentuknya.             (betul)
    Rumah-rumah yang baru dibina di Taman Sentosa itu cantik-cantik bentuknya.  (salah)

Penggandaan separa merupakan proses penggandaan sebahagian kata dasar sama ada kata tunggal ataupun kata terbitan. penggandaan boleh berlaku sama ada di hadapan atau di belakang kata dasar. Penggandaan separa ini ada yang membawa maksud saling seperti usik-mengusik. Oleh itu, kita perlu berhati-hati semasa membina ayat menggunakan kata ganda separa yang membawa maksud saling.
Ayat contoh:

1. Murid-murid tahun enam saling menolong menceriakan kelas mereka.                       (betul)
    Murid-murid tahun enam tolong-menolong menceriakan kelas mereka.                      (betul)
    Murid-murid tahun enam saling tolong-menolong menceriakan kelas mereka.             (salah)
2. Amir dan Azman bantu-membantu membersihkan kebun pisang ayah mereka.           (betul)
    Amir dan Azman saling membantu membersihkan kebun pisang ayah mereka.            (betul)
    Amir dan Azman saling bantu-membantu membersihkan kebun pisang ayah mereka.  (salah)

Penggandaan berentak merupakan proses penggandaan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Penggandaan berentak ini ada yang membawa maksud bilangan jamak atau bilangan banyak seperti kuih-muih. Oleh itu, berhati-hati semasa membina ayat menggunakan kata ganda berentak yang membawa maksud bilangan banyak ini. 
Ayat contoh:

1. Di gerai Mak Munah ada dijual pelbagai jenis kuih tradisional Melayu.           (betul)
    Di gerai Mak Munah ada dijual kuih-muih tradisional Melayu.                        (betul)
    Di gerai Mak Munah ada dijual pelbagai jenis kuih-muiih tradisional Melayu.  (salah)
2. Maniam menjual berbagai-bagai jenis sayur di Pasar Tani Kuantan.                (betul)
    Maniam menjual sayur-mayur di Pasar Tani di Kuantan.                                 (betul)
    Maniam menjual berbagai-bagai jenis sayur-mayur di Pasar Tani Kuantan.     (salah)

Penggunaan kata penegas hanya dan sahaja bersama-sama dalam ayat adalah salah. Begitu juga dengan cuma dan sahaja tidak boleh bersama-sama dalam ayat. Hal ini kerana kata penegas tersebut mempunyai maksud atau pengertian yang sama.
Ayat contoh:

1. Encik Wahab dan keluarganya bercuti di Pulau Langkawi hanya seminggu.            (betul)
    Encik Wahab dan keluarganya bercuti di Pulau Langkawi hanya seminggu sahaja.  (salah)
2. Harga baju kurung di Butik Ariani  itu cuma RM 200 sepasang.                             (betul)
    Harga baju kurung di Butik Ariani itu cuma RM200 sahaja sepasang.                    (salah)



Kata bilangan tentu seperti sepuluh ribu dan kata bilangan himpunan seperti beratus-ratus mesti diikuti penjodoh bilangan.
 Ayat contoh:

1. Nisa memiliki empat buah kereta mewah dan dua buah motosikal berkuasa tinggi.   (betul)
    Nisa memiliki empat kereta mewah dan dua motosikal berkuasa tinggi.                    (salah)
2. Pertandingan akhir futsal remaja itu disaksikan oleh beribu-ribu orang penonton.      (betul)
    Pertandingan akhir futsal remaja itu disaksikan oleh beribu-ribu penonton.               (salah)

Kata bilangan tak tentu seperti para, semua, sedikit dan lain-lain tidak perlu diikuti oleh penjodoh bilangan  kecuali kata bilangan "beberapa."
Ayat contoh:

1. Semua murid mesti mematuhi undang-undang dan peraturan sekolah.                         (betul)
    Semua orang murid mesti mematuhi undang-undang dan peraturan sekolah.               (salah)
2. Beberapa orang nelayan telah berpakat untuk mengusahakan ternakan udang galah .  (betul)
    Beberapa nelayan telah berpakat untuk mengusahakan ternakan udang galah.            (salah)

Penggunaan kata berimbuhan awalan peng- menjadi penge- apabila diimbuhankan pada kata dasar yang bersuku kata satu seperti bom, syor dan pam. Penggunaan kata berimbuhan apitan peN-...menjadi penge-...-an diimbuhkan pada kata dasar yang bersuku kata satu seperti bom,pos dan lain-lain.
Ayat contoh:

1. Pengehad jalan digunakan bagi menyekat lori pasir memasuki kawasan itu.   (betul)
    Penghad jalan digunakan bagi menyekat lori pasir memasuki kawasan itu.     (salah)
2. Kamal berurusan di kaunter pengeposan barang di pejabat pos.                   (betul)
    Kamal berurusan di kaunter pengposan barang di pejabat pos.                     (salah)

Pengimbuhan ialah proses pembentukan kata yang paling penting dalam Bahasa Melayu. Melalui pengimbuhan sesuatu perkataan itu akan berubah sama ada dari segi bentuk, tugas atau maksudnya. 
Ayat contoh :

1. Para pekerja sedang melakukan pendalaman longkang di taman perumahan itu.      (betul)
    Para pekerja sedang melakukan pedalaman longkang di taman perumahan itu.        (salah)
2. Kawasan pedalaman di negeri Sabah sudah ada kemudahan api dan air bersih.       (betul)
    Kawasan pendalaman di negeri Sabah sudah ada kemudahan api dan air bersih.     (salah)

Perkataan pelaksanaan dan perlaksanaan yang menggunakan kata dasar " laksana" pula ada perbezaannya. Pelaksanaan bermaksud "proses melaksanakan atau proses melakukan sesuatu" manakala perlaksanaan bermaksud "hasil daripada melaksanakan atau melakukan sesuatu" 

Ayat contoh:

1. Pelaksanaan Bulan Kemerdekaan telah ditetapkan pada bulan Ogos setiap tahun.    (betul)
    Perlaksanaan Bulan Kemerdekaan telah ditetapkan pada bulan Ogos setiap tahun.   (salah)
2. Perlaksanaan program "satu kampung satu produk telah mencapai sasarannya."        (betul)
    Pelaksanaan program "satu kampung satu produk telah mencapai sasarannya."         (salah)

7 comments: